Penyelidikan dan advokasi Birutė_Galdikas

Pada umur 25 tahun, Galdikas tiba di Borneo untuk memulakan kajian lapangan terhadap orang utan di persekitaran rimba yang penuh rintangan bagi kebanyakan orang Barat. Dari situlah Galdikas banyak mendatangkan sumbangan yang tidak ternilai kepada pemahaman saintifik tentang keanekaragaman hidupan di Indonesia dan hutan hujan secara keseluruhan sambil menjulang orang utan ke mata dunia.

Ketika tiba di Borneo, Galdikas menginap di sebuah pondok yang terbina daripada kulit pohon dan jerami atap di tapak yang diberi nama Camp Leakey di pinggir Laut Jawa. [2] Setelah itu, beliau berhadapan dengan gerombolan manusia pemburu haram, dan juga dikerumuni lintah dan serangga karnivor. Sungguhpun begitu, beliau terus menempuh rintangan dan menetap di situ selama lebih dari 30 tahun sambil memperjuangkan nasib orang utan dan pemeliharaan hutan hujan selaku habitat bagi mawas tersebut yang teruk terjejas oleh kegiatan-kegiatan pembalakan, penanaman kelapa sawit, perlombongan emas, dan pembakaran.[8]

Usaha-usaha pemuliharaan Galdikas bukan lagi setakat advokasi, malah lebih memberi tumpuan pada usaha pemulihan orang utan yatim piatu yang diserahkan kepada beliau untuk dipelihara. Kebanyakan anak-anak orang utan piatu itu pernah dibela secara haram sebagai haiwan kesayangan sebelum menjadi terlalu tangkas dan sukar bagi dikendalikan.[2] Usaha-usaha pemulihan Galdikas melalui Orangutan Foundation International (OFI) yang ditubuhkan dan diketuai oleh beliau juga termasuk pemeliharaan hutan hujan.

Usaha-usaha Dr. Galdikas telah diakui nilainya dalam program-program televisyen yang dihoskan oleh Steve Irwin dan Jeff Corwin di saluran Animal Planet. Di samping itu, keprihatinan dan usaha Dr. Galdikas untuk memelihara hutan hujan Indonesia dipentingkan lagi oleh makalah mengenai bahan api biologi dalam akhbar The New York Times bertarikh 25 Januari 2007 dan juga rencana majalah National Geographic Januari 2008 yang bertajuk "Borneo's Moment of Truth". Organisasi OFI juga terlibat dalam projek pemulihan hutan dengan menanam pokok-pokok asli di kawasan hutan hujan yang telah dimusnahkan sebelumnya.